TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) melancarkan Kempen ‘No Kompek’ selaras penguatkuasaan larangan pengunaan plastik beg sekali guna bermula 1 Januari 2026 di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri.
Presiden MPT Joseph Pang berkata perkataan ‘kompek’ yang bermaksud plastik dipilih untuk kempen peringkat perbandaran Tawau keran ia lebih dekat dengan masyarakat daerah ini.
“Kompek adalah bahasa daerah atau bahasa pasar yang sinonim digunakan oleh masyarakat di sini sebagai plastik,” katanya semasa majlis pelancaran kempen itu di Pasaraya Bataras, di sini, pada Sabtu, dan berharap pendekatan itu akan lebih mudah mengajak orang ramai untuk menyokong kempen tersebut.
Menurutnya, di Tawau sahaja, purata sisa yang dihasilkan mencecah 200 tan sehari dan dianggarkan sekitar 20 sehingga 25 peratus daripadanya adalah plastik.
“Angka ini cukup besar, sekali gus mengambarkan tanggungjawab besar yang kita pikul bersama kerana kita semua tahu plastik memberi kesan besar kepada alam dan kehidupan,” katanya.
Katanya, sisa plastik boleh mencemari sungai dan laut dan menjejaskan hidupan marin seperti ikan, penyu serta burung laut, malah kini mikroplastik memasuki rantaian makanan manusia.
Justeru itu, kempen No ‘Kompek’ bukanlah sekadar slogan tetapi merupakan gerakan kesedaran demi kelestarian alam sekitar.
“Kita mahu mesej ini sampai ke setiap rumah, sekolah dan komuniti. Kita mahu lihat ibu bapa, anak-anak, peniaga dan pelanggan memainkan peranan dengan membawa beg sendiri dengan menolak plastik sekali guna,” katanya.
Joseph menjelaskan terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan pengguna dikenakan tindakan sekiranya ingkar terhadap larangan penggunaan plastik.