Kota Kinabalu: Pemasangan kren dermaga baharu di Pelabuhan Tawau merupakan perkembangan positif namun ia tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh terhadap masalah infrastruktur yang telah lama dihadapi pelabuhan itu kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Chen Ket Chuin @ KC (gambar).
”Walaupun kren baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi namun Pelabuhan Tawau memerlukan perancangan infrastruktur yang lebih menyeluruh dan jangka panjang bagi memastikan ia kekal berdaya saing sebagai hab maritim serantau.
“Kehadiran kren dermaga baharu sememangnya berita baik namun sebuah kren sahaja tidak akan menyelesaikan cabaran struktur yang dihadapi Pelabuhan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut Chen kren mudah alih lama di pelabuhan itu telah lama kerap mengalami kerosakan akibat penggunaan berpanjangan dan beban operasi yang tinggi.
Beliau berkata masalah tersebut menjadi lebih serius pada Mei tahun lalu apabila kedua-dua kren mengalami kerosakan serentak sehingga menyebabkan kesesakan dan kelewatan ketara dalam operasi pelabuhan.
“Kejadian itu jelas menunjukkan kelemahan peralatan di Pelabuhan Tawau dan menekankan keperluan mendesak untuk kerja naik taraf yang sewajarnya.
”Walaupun kren baharu dijangka meningkatkan kecekapan pengendalian kontena tetapi dengan adanya kren kedua yang dijangka sejak tahun lalu masih belum dihantar.
”Pihak berkuasa perlu memastikan kren kedua dihantar dan dipasang tanpa sebarang kelewatan lagi. Pelabuhan Tawau tidak sepatutnya beroperasi pada kapasiti minimum ketika aktiviti perdagangan di rantau ini terus berkembang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa peralatan baharu sahaja tidak menjamin operasi pelabuhan yang lancar tanpa penyelenggaraan yang baik.
“Kita sudah melihat apa yang berlaku apabila penyelenggaraan diabaikan.
Walaupun menggunakan mesin paling moden namun masalah sama boleh berulang jika penyelegaraan dan piawaian operasi tidak dipatuhi dengan ketat,” katanya menegaskan bahawa Pelabuhan Tawau kekal sebagai pintu masuk ekonomi penting bagi pantai timur Sabah.
Chen menyatakan secara sejarah Pelabuhan Tawau pernah menjadi pelabuhan kedua paling sibuk di Sabah dan kini masih yang paling sibuk di pantai timur.
Beliau memaklumkan tahun lalu juga mencatatkan jumlah pengendalian kontena tertinggi.
Melihat ke hadapan beliau berkata pembangunan pelabuhan itu juga perlu melibatkan penambahbaikan struktur seperti kerja mendalamkan dasar laut bagi membolehkan kapal antarabangsa yang lebih besar berlabuh secara terus di Pelabuhan Tawau.
”Langkah itu penting bagi memastikan Tawau kekal berdaya saing dengan pelabuhan serantau yang sedang berkembang pesat.
“Pelabuhan di negara jiran bergerak agresif untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing. Pelabuhan Tarakan di Kalimantan Utara misalnya sedang memposisikan diri sebagai hab maritim serantau.
”Dengan peningkatan aktiviti ekonomi di sepanjang sempadan Indonesia–Malaysia, Tawau tidak boleh ketinggalan.
“Kita sepatutnya memperkukuh peranan Tawau sebagai pintu masuk maritim semula jadi bagi Sabah timur,” katanya.
Tambah Chen perancangan strategik serta naiktaraf infrastruktur yang tepat pada masanya amat penting bagi memastikan Pelabuhan Tawau terus menyokong perdagangan, logistik dan pertumbuhan ekonomi di pantai timur Sabah.