Kota Kinabalu: Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah menerima laporan pakar psikiatri Kementerian Kesihatan (KKM) dari Hospital Bukit Padang pada 5 Mac lalu yang akan digunakan dalam prosiding inkues kes berkenaan.
Peguam Shahlan Jufri yang mengetuai pasukan itu berkata kepada media dalam satu sidang akhbar pada Selasa bahawa pihaknya mengesahkan penerimaan laporan tersebut dan pakar psikiatri berkenaan dijadual memberi keterangan pada Khamis ini.
“Pakar psikiatri akan memberi keterangan pada Khamis ini namun pasukan kami akan memohon masa tambahan untuk menyoal pakar tersebut kemungkinan pada penghujung bulan ini.
“Ini kerana kami perlu meneliti laporan yang mengandungi 84 muka surat selain memerlukan masa mencukupi untuk berbincang dengan pakar kami sendiri,” katanya.
Menurut Shahlan laporan mengenai keadaan Zara itu disediakan selepas sesi temu bual bersama ibu, bapa serta beberapa individu lain yang berkaitan.
Shahlan turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk memohon agar beberapa deponen dipanggil memberi keterangan dalam inkues tersebut khususnya individu yang disebut oleh deponen kanak-kanak ke-65 yang memberi keterangan pada Selasa.
Antara yang dicadangkan ialah pegawai perubatan yang pertama memberi rawatan kepada Zara ketika ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama SMK Tun Mustapha.
Shahlan berkata senarai penuh deponen yang akan dipanggil dijangka didedahkan pada Rabu.
Mengulas mengenai saksi kanak-kanak ke-65 Shahlan berkata deponen tersebut hanya berkongsi kejadian itu dengan ibunya sebelum Ramadan tahun ini.
“Dia memaklumkan perkara itu kepada ibunya yang kemudian menghubungi seorang guru di sekolah berkenaan. Selepas itu deponen memberikan kenyataan.
“Menurut keterangannya tahun ini merupakan kali pertama dia memberikan kenyataan kepada polis,” katanya.