TAWAU: Seorang penjaga stor penyimpanan kenderaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,071.04 gram dua minggu lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Hadriansyah Sabran, 41, yang juga rakyat tempatan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Lelaki itu dituduh mengedar dadah di kawasan premis stor penyimpanan kenderaan Smart Bid Auction Sdn Bhd, Lorong Yong Yuk, Jalan Sin Onn sekitar jam 7.30 malam 13 Mac 2026.
Kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat sehingga 12 kali sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia diperoleh, manakala tertuduh terus ditahan memandangkan kesalahan tidak boleh dijamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa IPD Tawau, ASP Jeffrey Kadison, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini media melaporkan kejayaan polis Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan lebih 53kg syabu dianggarkan bernilai hampir RM2.65 juta menerusi tiga operasi berasingan di Kota Kinabalu dan Tawau. Tertuduh merupakan salah seorang daripada lima suspek ditahan dalam kes berkenaan.