Sun, 5 Apr 2026
Headlines:
Tingkah laku Zara berubah dua hari sebelum insiden
Published on: Wednesday, April 01, 2026
Published on: Wed, Apr 01, 2026
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Tingkah laku Zara berubah dua hari sebelum insiden
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Selasa diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir menunjukkan perubahan tingkah laku ketara dua hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMK Tun Mustapha.

Peguam Joan Goh bersama Datuk Ram Singh dalam taklimat kepada media berkata pelajar Tingkatan Dua yang merupakan deponen menyedari perubahan tersebut berbanding sikap Zara sebelum ini.

Advertisement
“Perubahan pertama dikesan pada 14 Julai 2025 ketika waktu persekolahan apabila Zara tidak berkelakuan seperti biasa dan kurang berinteraksi dengan saksi.

“Pada 15 Julai 2025 iaitu kali terakhir saksi bercakap dengannya sebelum malam kejadian antara jam 9.30 hingga 10 pagi Zara dilihat berjalan ke kelas dalam keadaan murung dan tidak seperti dirinya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Wajahnya kelihatan suram, kurang ceria dan bercakap sangat sedikit. Apabila dipanggil Zara hanya menoleh dan memberikan senyuman ringkas sebelum berlalu tanpa berkata apa-apa,” katanya.

Menurut Goh sikap itu amat berbeza kerana sebelum ini Zara sentiasa menyahut dan berbual seperti biasa setiap kali disapa.

Advertisement
“Saksi menyatakan itu kali pertama Zara mengabaikan tegurannya. Selepas itu mereka hanya terserempak beberapa kali tanpa berbual kerana masing-masing melakukan aktiviti sendiri.

“Saksi menganggap Zara mungkin sibuk dan tidak mahu mengganggunya namun perubahan tersebut jelas menunjukkan dia berada dalam keadaan berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Advertisement
Tambahnya sebelum ini Zara masih mampu mengawal emosi walaupun bersedih tetapi ketika itu dia dilihat menunjukkan tanda tekanan yang lebih kuat.

Perubahan tersebut membuatkan saksi merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana sikap Zara tidak lagi sepadan dengan personalitinya yang ceria, peramah dan suka bergurau.

Dalam pada itu Goh berkata deponen turut mendedahkan bahawa Zara pernah beberapa kali meluahkan pemikiran negatif mengenai dirinya.

“Antaranya Zara pernah menyatakan mahu membunuh diri dalam nada seperti bergurau. Dia sering mengucapkan perkara itu di hadapan saksi dan seorang lagi rakan dan mereka menyangka ia sekadar ‘gurauan gelap’.

“Zara juga pernah menyebut mahu membuat ‘barcode’ yang difahami saksi sebagai mencederakan tangan. Namun saksi tidak pernah melihat sebarang kesan sedemikian pada Zara,” katanya.

Menurut saksi Zara juga tidak pernah berkongsi secara terperinci mengenai latar belakang keluarganya. Setiap kali ditanya dia akan mengelak atau menukar topik.

“Saksi menyatakan Zara kelihatan tidak selesa apabila ditanya mengenai keluarganya termasuk hubungannya dengan ibu,” katanya.

Saksi turut memberitahu bahawa walaupun dia bertemu Zara pada 16 Julai 2025 di hadapan tandas tingkat tiga asrama Blok A, perkara itu hanya dimaklumkan kepada ibunya dua hingga tiga bulan selepas kejadian kerana berasa takut dan belum bersedia untuk bercerita.

Selepas itu ibunya menghubungi seorang guru sekolah iaitu Ustazah Shukriah Fauzi sebelum saksi memberikan kenyataan kepada polis.

Saksi juga berkongsi maklumat tersebut dalam satu pertemuan bersama pelajar lain di asrama Blok B di mana dia disoal oleh seorang pegawai polis wanita.

“Pegawai itu bertanya apa yang diketahui saksi dan dia menceritakan semuanya. Namun pegawai berkenaan meninggikan suara apabila bertanya mengapa saksi pergi ke asrama Blok A pada tengah malam sehingga menyebabkan saksi menangis.

“Seorang pegawai polis lelaki kemudian campur tangan dan saksi mengulangi kejadian tersebut kepadanya.

“Bagaimanapun kedua-dua pegawai itu tidak merekodkan sebarang kenyataan dan saksi juga tidak dapat mengenal pasti mereka,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here