TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau menarik semula pengisytiharan bencana kemarau yang dibuat pada jam 10 pagi Rabu.
Pengerusi JPBD Datuk Joseph Pang dalam satu kenyataan sekitar jam 1.50 petang berkata perkara itu selaras dengan pandangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.
Menurutnya, penarikan semula itu adalah hasil semakan dan pemantauan daripada pihak berkuasa mendapati bahawa keadaan semasa tidak lagi memenuhi kriteria sebagai bencana kemarau seperti yang ditakrifkan.
“Bekalan air serta keadaan cuaca di kawasan Tawau masih dalam keadaan terkawal dan stabil.
“Namun begitu, terdapat kekurangan air di bahagian Pulau Sebatik sahaja dan semakin membimbangkan,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa akan terus menjalankan perbincangan semula dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan maklumat lama yang tidak lagi sahih.
“Sentiasalah merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini dan terus amalkan penggunaan air secara berhemah,” katanya.
Terdahulu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) itu mengisytiharkan daerah itu dilanda kemarau pada jam 10 pagi, berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi JPBD.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah ada mengeluarkan nasihat kepada masyarakat berhubung cuaca panas ekstrim dan kemarau yang berlaku di negeri ini.
Nasihat itu merangkumi peringatan agar masyarakat mengelakkan kebakaran terbuka semasa cuaca panas dan kemarau, dengan tidak mengamalkan pembakaran terbuka dan menjaga kawasan sekitar masing-masing dengan menjauhi punca api.
Menurutnya, impak buruk dan peringatan akibat kegiatan terbabit adalah kemusnahan alam sekitar, ancaman kesihatan (jerebu, sesak nafas) dan risiko bahaya api merebak.
Orang ramai juga dinasihatkan menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.