TAWAU: Sejumlah 14 notis dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan selepas Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau memeriksa 82 premis di daerah ini, setakat hari ketujuh Ramadan.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata pemeriksaan membabitkan 60 anggota itu dijalankan di beberapa bazar utama seperti Fujimart, Sabindo dan perkarangan tempat letak kereta Bataras.
Advertisement

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ialah pelanggaran Perkara 32(1)(b) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan.
“Turut dikesan kesalahan di bawah Perkara 11(1)(b) apabila majikan menggaji pengendali makanan tanpa sijil latihan pengendalian makanan,” katanya selepas Ops Bazar Ramadan dan Program Promosi Kesihatan Tibi 2026, di Sabindo pada Rabu.
Beberapa kesalahan lain termasuk aspek kebersihan diri seperti berkuku panjang, memakai perhiasan tangan, tidak menghadiri kursus pengendali makanan serta penggunaan perkakas yang kotor.
Beliau berkata terdapat 20 lokasi bazar Ramadan di seluruh Tawau dan pihaknya akan meneruskan pemeriksaan sehingga akhir Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan makanan sentiasa berada di tahap memuaskan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tahap pematuhan dalam kalangan penjaja menunjukkan peningkatan dan pemahaman mereka semakin baik berbanding sebelum ini.
Dalam kes berasingan, Dr. Shameer mendedahkan pihaknya membawa satu kes ke mahkamah membabitkan kesalahan memberi perlindungan kepada larva nyamuk Aedes susulan peningkatan kes denggi di daerah ini.
“Selepas dikompaun dan masih gagal mematuhi arahan, kes dibawa ke mahkamah sebelum majistret menjatuhkan hukuman denda RM3, 500,” katanya yang menambah setakat ini, sebanyak 264 kes denggi direkodkan di Tawau.
Tambahnya, sebelum ini berlaku sedikit peningkatan kes namun trend menurun hasil tindakan agresif yang diambill menerusi penguatkuasaan dan kerjasama pelbagai pihak.
Katanya, antara kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ ialah Taman Mas, Taman Semarak dan Kampung Titingan.
Tambah beliau, Jabatan itu bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pemimpin setempat, komuniti, KRT serta agensi berkaitan, selain mempergiat aktiviti gotong-royong sebagai langkah menangani perkara itu.
Selain itu, promosi kebersihan persekitaran dan program di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Combi (Communication for Behavioural Impact) terus diperkasa bagi memastikan kes denggi dapat dikawal, terutamanya menjelang musim perayaan.