PEGAWAI Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini memantau aktiviti penjaja tanpa lesen di sepanjang jalan utama di kawasan Kepayan dengan pesalah berdepan kompaun sehingga RM500 di bawah Undang-undang Kecil Penjaja 1966 (Pindaan 2008).
Menurut jurucakap Jabatan Pelesenan DBKK dalam kes serius barangan jualan serta peralatan penjaja boleh disita dan mereka perlu membayar tambahan RM300 untuk menebus semula barangan tersebut.
Beliau berkata tiga penjaja tanpa lesen telah ditahan di bahu jalan kawasan Kopungit berhampiran Jalan Pintas dalam tempoh empat bulan lalu.
“Sejumlah RM1,700 kompaun telah dikenakan terhadap semua individu terbabit.
“Seorang penjaja minuman dikenakan kompaun RM100 dan diarahkan menutup gerai serta-merta manakala dua penjual durian masing-masing dikenakan kompaun RM800. Buah durian, kanopi, kerusi dan meja mereka turut disita oleh pasukan gabungan Pelesenan dan Penguatkuasaan,” katanya.
Tindakan Dewan Bandaraya itu diambil susulan maklum balas mengenai bahaya lalu lintas yang berpunca daripada gerai-gerai berkenaan serta kenderaan pelanggan mereka.

Seorang pembayar cukai yang tinggal di kawasan Kepayan Ridge berkata struktur gerai tersebut menyukarkan pemandu untuk membuat pusingan U di satu bahagian Jalan Pintas berhampiran kediamannya.
Menurutnya kenderaan yang diparkir secara tidak teratur di sekitar gerai menyebabkan kesesakan apabila pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan untuk mengelak halangan.
Beliau turut mendakwa terdapat lori yang berhenti di salah satu daripada dua lorong jalan semata-mata untuk menambah bekalan durian sekali gus memburukkan lagi keadaan trafik.
Beliau berpendapat pengguna jalan raya dapat mengelakkan segala kesulitan ini selain berasa lebih selamat sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras aktiviti penjaja di sepanjang laluan sibuk tersebut.
Bagaimanapun jurucakap itu menafikan dakwaan bahawa Dewan Bandaraya memejamkan mata terhadap aktiviti di sepanjang Jalan Pintas sambil menjelaskan bahawa tiga pemeriksaan berasingan telah dijalankan sejak pihaknya dihubungi media.
Menurutnya berdasarkan rekod pemeriksaan dilakukan pada 13 Mac, 26 Februari dan 13 Januari lalu.
“Kami telah beberapa kali mengeluarkan kompaun dan menyita barangan penjaja yang melanggar peraturan namun mereka masih tidak serik,” ujarnya.
Beliau berkata Jabatan Pelesenan berdepan tugas yang sukar dalam menangani individu-individu ini.
“Kami menutup gerai mereka tetapi penjaja ini kembali berniaga satu atau dua hari kemudian setelah kakitangan kami beredar. Mereka membuka gerai selepas waktu pejabat sehingga lewat malam antara jam 1 hingga 2 pagi termasuk pada hari Sabtu dan Ahad ketika kakitangan kami tidak bertugas,” jelas jurucakap terbabit.
Jurucakap berkenaan turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pesalah berulang dengan denda sehingga RM5,000 jika disabitkan di mahkamah.
“Ini adalah senario paling teruk. Namun kami kini meneliti langkah yang kurang ekstrem.
“Kami merancang untuk memindahkan penjual durian secara berkelompok daripada bahu jalan di kawasan penilaian kami ke lokasi yang lebih sesuai,” tambahnya.
Beliau berkata perkara ini telah dibincangkan dalam salah satu mesyuarat pengurusan agensi baru-baru ini.
“Kami sedang menyusun senarai tapak berpotensi untuk menempatkan semula penjaja ini. Salah satu cadangan adalah memindahkan mereka ke pekan berdekatan yang mempunyai aktiviti komersial,” katanya.