RANAU: Jumlah pelajar Sabah yang layak menerima sijil penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2025 ialah 34,737 orang atau 95.60 peratus berbanding 32,501 orang atau 94.68 peratus pada tahun sebelumnya, meningkat sebanyak 2,236 pelajar atau 0.92 peratus.
Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin berkata pencapaian berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) secara keseluruhan juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Mengumumkan keputusan itu di SMK Agama Mohamad Ali Ranau, Selasa, beliau berkata tiga pelajar memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran berbanding enam pada 2024.
Mereka yang memperoleh gabungan gred A+, A dan A- ialah 605 orang berbanding 580 pada 2024.
Jumlah calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran ialah 6,150 orang berbanding 3,437 sebelum ini.
Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau Gred E dalam semua mata pelajaran pula seramai 14,533 orang.
Antara pelajar cemerlang ialah Dyna Farhana binti Sharul dari SMK Konven St Cecilia Sandakan, Anis Sofiyyah Ixora binti Anuar (SMK Sandakan, Sandakan), Nurul Afiqah Athirah binti Maksudin (SMK Desa Kencana, Lahad Datu), John Ng Chu Cheng (SMK St Patrick, Lahad Datu), Chin Kai Yi (SMK Shan Tao, Kota Kinabalu) dan Leong Kai Zhi (SMK St Patrick, Tawau).
Pelajar cemerlang dari Ranau pula ialah Eleazar Norbert, Jackle Chung Min Jun, Nicholas Noel Jamil @ Adderly dan Sweet Ersa Sobvest (SMK Mat Salleh), Irdina Afifa binti Jaimis (SMK Agama Mohamad Ali), Merlisah Sahirah binti Abdullah dan Petty Roger (SMK Bundu Tuhan), Matthew Mark Majin (SMK Lohan), Phillip Leeroy Paulus dan Rehttylia Intang (SMK Timbua), serta Afi Nazhim bin Razalin, Arifah Aliyah binti Ruslin, Hasya Humaira binti Hamirin, Mohamad Helmi bin Jusidin, Muhammad Danish Syahmi bin Suhailin, Nur Izzah Atigah Izna binti Eddmas Nizam dan Nurul Syamilah Hanie binti Hamzani (SM Agama Al-Irsyadiah Marakau).
Peperiksaan SPM 2025 dilaksanakan secara berperingkat dari 3 November hingga 23 Disember. Jumlah calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan ialah 41,667 orang berbanding 39,550 pada tahun sebelumnya.
Beliau menambah bahawa jumlah calon baharu Kategori A yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dalam peperiksaan SPM 2025 ialah 37,036 orang.
Seramai 699 calon tidak hadir bagi semua mata pelajaran berbanding 905 pada 2024. Raisin berkata penurunan jumlah ketidakhadiran itu merupakan perkembangan positif.
Bagi calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK), seramai 182 orang menduduki peperiksaan tersebut.
“Secara keseluruhan, analisis menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan oleh calon. Ia mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal berkualiti, inklusif dan memberi peluang yang adil kepada semua calon di seluruh negara,” katanya.
“Selaras dengan aspirasi pembangunan negara, Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi pendidikan bagi menyokong agenda pembangunan progresif dan mampan Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan berharap pengumuman keputusan ini bukan sahaja memaklumkan pencapaian peperiksaan, tetapi turut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian untuk memastikan sistem pentaksiran nasional dilaksanakan dengan integriti, ketelusan dan kepercayaan selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.