SEMPORNA: Pertimbangan untuk mewujudkan mekanisme sokongan atau pelepasan khas kepada pengusaha pelancongan dilihat perlu bagi membantu mereka yang terjejas susulan kenaikan harga petrol serta pelaksanaan had pembelian minyak menggunakan tong di daerah ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (Puspabumi), Madzafar Madzahala (
gambar), berkata langkah itu penting khususnya bagi pengusaha yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan laut dalam operasi harian.
Beliau berkata bekalan bahan api merupakan keperluan asas bagi pengusaha pelancongan termasuk untuk pengangkutan dan aktiviti seperti ‘island hopping’.
Katanya, peningkatan harga minyak dan penetapan had pembelian memberi kesan langsung kepada operasi melalui peningkatan kos serta menjejaskan perancangan logistik dan bekalan.
“Peningkatan harga dan penetapan had pembelian minyak memerlukan perancangan yang lebih teliti terutama bagi pengusaha kecil dan sederhana.
“Mekanisme sokongan atau pelepasan khas yang bersesuaian perlu diteliti bagi membantu pengusaha mengekalkan kestabilan operasi tanpa menjejaskan perancangan perniagaan mereka,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut juga berupaya membantu mengekalkan daya saing industri pelancongan tempatan yang mungkin terjejas serta berpotensi menyebabkan kenaikan harga pakej secara berperingkat.
Beliau berkata situasi itu turut memberi tekanan kewangan kepada pengusaha bot dan agensi pelancongan jika tidak ditangani segera, sambil berharap penyelesaian seimbang dapat dicapai bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan di Sabah dan seluruh Malaysia.