TAWAU: Seorang lelaki dipercayai menetak rakan sekerjanya dengan pisau selepas dimarahi kerana gagal memasak nasi di sebuah restoran di Kubota Sentral, di sini, pada Ahad.
Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata suspek hilang sabar apabila ditegur mangsa, sebelum mencederakan tangan kiri mangsa menggunakan pisau ikan.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tawau dan membuat laporan polis tidak lama selepas kejadian.
“Susulan insiden itu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Tawau berjaya mengesan suspek berusia 21 tahun dan menahannya di Jalan Habib Hussein.
“Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 33 sentimeter serta satu beg plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes,” katanya.
Menurut Jasmin, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.