Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen menetapkan 25 Mei untuk sebutan dalam prosiding komital membabitkan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai permohonan semakan kehakiman (JR) untuk membatalkan inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menetapkan tarikh tersebut semasa sebutan kes melalui Zoom pada Jumaat.
Shafie didakwa membuat kenyataan berhubung inkues itu yang mungkin boleh dianggap sebagai menghina mahkamah, manakala mahkamah sebelum ini membenarkan penangguhan prosiding komital sementara menunggu perkembangan mengenai permohonan JR.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Christopher Enteri Mawan, ketika dihubungi, berkata pihaknya telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa proses JR masih berjalan dan belum selesai.
“Mahkamah kemudian meminta pihak-pihak mengemas kini status JR di Mahkamah Tinggi pada sebutan seterusnya melalui Zoom.
“Pihak-pihak juga akan membincangkan isu perlembagaan berkaitan satu ordinan serta implikasinya terhadap undang-undang Persekutuan dan negeri,” katanya.
Pada 21 Nov 2025, permohonan JR yang mencabar inkues sedang berjalan berhubung kematian Zara difailkan di Mahkamah Tinggi dengan alasan prosiding itu tidak dijalankan mengikut undang-undang inkues Sabah.
Permohonan yang difailkan oleh Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) itu menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Sesyen Koroner masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membantah permohonan tersebut.
Christopher bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Mohd Izhar mewakili pihak AGC, sementara Jakariya Ab Jalil, Chen Ket Chuin dan Batholomew Jingulam mewakili Shafie.