KENINGAU: Pasukan ragbi bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Keningau terus membuktikan dominasi apabila muncul juara Kejohanan Ragbi MSS Sabah 2026, sekali gus mencipta rekod membanggakan lima tahun berturut-turut menjuarai kejohanan peringkat negeri itu.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan Penampang itu disertai 18 pasukan dari seluruh Sabah.
Kejayaan berterusan tersebut sekali lagi mengukuhkan reputasi MSSD Keningau sebagai kuasa besar ragbi sekolah rendah di negeri ini hasil pembangunan bakat sukan yang konsisten di peringkat akar umbi.
Kontinjen MSSD Keningau diketuai Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Suhaimi @ Suhaini Haji Matshah bersama barisan pegawai dan jurulatih memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan pasukan terus dipertahankan.
Mereka termasuk timbalan ketua kontinjen Patrick Gobilik, Daidi Andrias dan Ledrin Zaubin @ Jiubin; penyelaras Muhammad Nazri Abu Talip, Faddly S. Epor dan Morhaidi Mokhtar; pengurus teknik Ruddy Daupin; ketua pengurus pasukan Rozy Yanty C. Madis; penolong pengurus pasukan merangkap bendahari kewangan Rocardo Lorenzo Henry; pengurus dokumentasi Yvette Jane; ketua jurulatih Amodd Deal Tingadon bersama jurulatih Joe Samat, Ronney Yusman dan Mohammad Faizal Abin serta pegawai fisioterapi Mohd Khairul Anwar Mohd Yusuf.
Pasukan Keningau dibarisi 12 pemain muda berbakat dari beberapa sekolah sekitar daerah itu termasuk lima pemain dari SK Kampong Biah, empat dari SK Pasir Puteh serta masing-masing seorang dari SK Ulu Senagang, SK Kebulu dan SK Manisat.
Advertisement

Sementara itu, Ruddy berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen berterusan Pejabat Pendidikan Daerah Keningau khususnya Unit Sukan dan Sektor Pengurusan Murid dalam memperkukuh pembangunan sukan ragbi di peringkat sekolah rendah.
Menurutnya, usaha melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat akan diteruskan bagi memastikan Keningau kekal sebagai pencabar utama ragbi peringkat negeri pada masa akan datang.