SEMPORNA: Kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor perikanan dan rumpai laut di daerah ini bagi membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata sumber marin Semporna yang luas termasuk ikan tuna yang berpotensi bagi tujuan eksport perlu dibangunkan sepenuhnya menerusi kemudahan pendaratan dan pembungkusan ikan yang lebih sistematik.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Semporna mempunyai khazanah marin yang besar termasuk tuna yang berpotensi untuk eksport namun kita masih memerlukan kemudahan pendaratan dan pembungkusan.
“Oleh itu cadangan pembinaan jeti pendaratan ikan kini sedang diperhalusi bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Ekonomi bagi membolehkan produk hasil laut tempatan dipasarkan pada nilai lebih tinggi,” katanya ketika berucap sempena Pesta Kaamatan Semporna pada Sabtu.
Menurut Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap berkata kementeriannya telah mengenal pasti dua lokasi strategik di daerah itu yang sesuai dibangunkan sebagai pusat pendaratan ikan.
Beliau turut menekankan kepentingan industri rumpai laut yang terus menerima permintaan menggalakkan daripada pasaran antarabangsa.
Advertisement

“Produk rumpai laut dari Semporna telah menembusi pasaran di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, namun bekalan bahan mentah daripada pengeluar tempatan masih perlu ditingkatkan.
“Oleh itu kita mahu menggalakkan lebih ramai penduduk menceburi industri sama sambil memberi jaminan kerajaan akan menyediakan sokongan termasuk bantuan infrastruktur seperti pelantar pengeringan dan sistem pagar perlindungan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memelihara ekosistem marin khususnya penyu yang kekal menjadi salah satu tarikan pelancongan di Semporna.
“Sistem pagar khas diperkenalkan bagi memastikan aktiviti penanaman rumpai laut dapat berkembang seiring usaha pemuliharaan marin secara seimbang,” tambahnya.
Sementara itu beliau berkata kementerian akan terus memperluaskan aktiviti pertanian melibatkan pisang, kelapa pandan, mangga dan ubi kayu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor pelancongan daerah itu.
Menurutnya kehadiran sehingga 2,000 pelancong setiap hari membuka peluang lebih luas kepada petani, penternak dan nelayan tempatan membekalkan hasil segar serta produk makanan laut.
Dalam pada itu Jamawi menggesa komuniti setempat merebut peluang itu dengan memastikan produk pertanian dan perikanan Semporna terus menjadi pilihan utama di pasaran.
Beliau turut memaklumkan akan kembali ke Semporna dalam tempoh tiga bulan bagi menilai lagi keperluan komuniti nelayan serta memantau pelaksanaan inisiatif yang dirancang.