Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah melancarkan operasi lebih agresif dan bersasar terhadap kenderaan komersial yang membawa muatan berlebihan susulan peningkatan ketara kesalahan itu, dengan jumlah kes hampir tiga kali ganda daripada 1,180 kes pada 2024 kepada 3,350 kes tahun lalu.
Ketua Penguat Kuasa JPJ, Misnan Tamimi berkata, Ops Perang Lebih Muatan peringkat kebangsaan bermula pada 16 Mei lalu, dengan Stesen Penguatkuasaan Telipok dipilih sebagai antara lokasi operasi kerana menjadi laluan utama yang kerap digunakan kenderaan berat, pengangkutan komersial dan kenderaan persendirian.
“Operasi ini melibatkan pemeriksaan dan penimbangan kenderaan pengangkutan komersial, termasuk lori pasir, lori batu, lori kargo dan lain-lain kenderaan berat yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita, Rabu.
Beliau berkata, operasi itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, selain memperbaiki aliran trafik, meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya serta membantu mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.
Katanya, sebanyak 1,530 kenderaan diperiksa di seluruh Sabah sepanjang tempoh 16 hingga 20 Mei.
Daripada jumlah itu, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 259 kenderaan perkhidmatan barangan, dengan 108 kes membabitkan kesalahan muatan berlebihan, manakala 374 kenderaan lain dikesan melakukan pelbagai kesalahan lain.
Advertisement

Misnan berkata, dari Januari hingga April tahun ini, JPJ memeriksa sebanyak 204,503 kenderaan di seluruh negeri, dengan kesalahan utama dikesan ialah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen memandu (LMM), serta tiada perlindungan insurans.
Dalam tempoh sama, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 18,688 kenderaan persendirian, 5,256 kenderaan perkhidmatan barangan dan 573 kenderaan perkhidmatan awam.
Beliau turut mengingatkan semua pemilik kenderaan, bukan sahaja pemilik kenderaan mewah tetapi juga pengguna kenderaan persendirian, kenderaan perkhidmatan awam dan pengendali pengangkutan komersial supaya memperbaharui cukai jalan dan polisi insurans masing-masing mengikut tempoh ditetapkan.
“Lesen sah untuk tempoh setahun dan ramai yang terlupa tarikh tamat tempoh,” katanya.
Beliau menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyJPJ yang membolehkan pengguna menyemak tarikh tamat lesen memandu dan cukai jalan.
Katanya, pengguna juga boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan secara terus menerusi aplikasi itu tanpa perlu beratur di kaunter JPJ.
JPJ Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.
Selain penguatkuasaan, jabatan itu turut melaksanakan inisiatif advokasi keselamatan jalan raya menerusi kempen “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.
Inisiatif itu merangkumi lebih 50 program seperti pameran, ceramah kesedaran, pengagihan kit keselamatan jalan raya serta kempen yang dijalankan bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah dan rakan strategik lain.