KENINGAU: Sekumpulan individu yang dipercayai menceroboh sebuah ladang kelapa sawit di Nabawan menggunakan 17 kenderaan untuk mencuri buah sawit mencetuskan kebimbangan, sekali gus membawa kepada laporan polis dibuat pengurus ladang berkenaan pada Selasa.
Kejadian di Ladang Indera Jaya Nabawan itu disedari kira-kira tengah hari selepas pengadu berusia 44 tahun menerima panggilan kecemasan daripada pekerjanya.
Pekerja terbabit memaklumkan kehadiran luar biasa kira-kira 17 kenderaan jenis Toyota Hilux dan lebih 10 motosikal yang memasuki kawasan ladang dengan niat dipercayai untuk menuai buah sawit secara haram.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian pencerobohan itu berpunca daripada pertikaian pemilikan tanah.
Katanya, pihak yang menceroboh mendakwa mempunyai hak ke atas kawasan berkenaan berdasarkan satu perjanjian lama yang dibuat dengan abang ipar pengadu pada Jun 2006.
Advertisement

Bagaimanapun, kesahihan dokumen itu diragui dan tidak diiktiraf pengadu berikutan kandungannya yang didakwa tidak jelas.
Menurutnya, pertikaian tanah itu sebenarnya telah dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk penyelesaian.
Mahkamah juga menetapkan sebutan kes pada 1 April lalu, namun pihak yang menuntut tanah berkenaan didakwa gagal hadir.
Susulan itu, dalang utama kes berkenaan dipercayai membawa sekumpulan orang awam yang mendakwa terlibat dalam perjanjian lama tersebut untuk memasuki ladang dan membawa keluar hasil tuaian buah sawit.
Setakat ini, pihak pengurusan ladang masih belum dapat menentukan jumlah sebenar dan nilai kerugian yang dialami akibat kehilangan buah sawit tersebut.
Katanya, campur tangan secara langsung sengaja dielakkan buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang konfrontasi fizikal atau situasi tegang antara pekerja ladang dan kumpulan penceroboh.
Pegawai penyiasat, Sarjan Carolyn James, berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut.