PENAMPANG: Kerajaan Sabah memperkukuh komitmennya dalam melindungi biodiversiti dan sumber genetik tumbuhan tradisional negeri ini melalui pelaksanaan Program Kebangkitan Semangat Benih (SSR), yang telah mengumpulkan 508 varieti tumbuhan sejak diperkenalkan pada 2021.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, program itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam usaha memelihara biodiversiti, sumber genetik tumbuhan dan khazanah alam semula jadi Sabah yang bernilai tinggi.
“Tahun ini program SSR merekodkan 94 jenis bahan tumbuhan baharu, menjadikan jumlah koleksi kini mencecah beberapa ratus spesies.
“Usaha pengumpulan akan diteruskan sehingga 2026 selaras dengan ikrar kerajaan negeri untuk memastikan warisan biodiversiti Sabah tidak hilang.
“Ini mencerminkan respons langsung kepada tema global dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan benih asli dan pengetahuan budaya berkaitan,” katanya ketika melancarkan program itu di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini, Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Limus Jury.
Advertisement

Program itu diadakan sempena Festival Kaamatan Negeri Sabah dan Hari Biodiversiti Sedunia 2026.
Joachim berkata, Sabah diiktiraf sebagai antara wilayah paling kaya biodiversiti di dunia dengan hutan luas, kawasan tanah tinggi, sungai dan ekosistem marin yang menyokong flora, fauna serta sistem pengetahuan asli yang unik.
Bagaimanapun, beliau berkata kekayaan semula jadi itu kini berdepan tekanan akibat pembangunan moden, perubahan guna tanah dan degradasi habitat.
“Banyak spesies tumbuhan di Sabah masih belum didokumentasikan atau dikaji sepenuhnya.
“Pada masa sama, kemajuan teknologi dan perubahan dalam pertanian moden mengubah landskap lebih pantas daripada usaha pemuliharaan yang mampu dilaksanakan.
“Sesetengah spesies asli berisiko hilang sebelum sempat dikenal pasti,” katanya.
Menurut beliau, Program SSR diwujudkan bagi mendokumentasi, mengumpul dan memulihara benih tumbuhan asli secara sistematik, termasuk varieti padi tradisional, herba perubatan dan buah-buahan tempatan.
Katanya, benih berkenaan bukan sahaja penting dalam sektor pertanian, malah mempunyai nilai warisan budaya, pengetahuan tradisional serta potensi untuk penyelidikan saintifik dan pembangunan tanaman masa depan.
Joachim berkata, pemuliharaan benih juga berkait rapat dengan isu keselamatan makanan, memandangkan Sabah masih mengimport sebahagian besar beras dan makanan ruji lain.
“Menghidupkan semula dan memelihara varieti tanaman tradisional boleh menjadi penampan terhadap gangguan bekalan makanan selain membantu pembangunan tanaman yang lebih sesuai dengan keadaan tempatan dan perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Pertanian Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah, KDCA dan SaBC memainkan peranan penting dalam menyelaras inisiatif itu.
Katanya, kerjasama dengan komuniti tempatan turut diberi penekanan kerana sebahagian besar pengetahuan berkaitan pemilihan, penyimpanan dan penggunaan benih berada dalam kalangan petani serta masyarakat peribumi.
“Bagaimanapun, pemuliharaan biodiversiti bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan penglibatan komuniti, institusi pendidikan, penyelidik dan generasi muda.
“Tanpa usaha bersama, benih dan pengetahuan berkaitan dengannya akan hilang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri merancang memperluaskan Program SSR setiap tahun dengan memberi tumpuan kepada peningkatan penglibatan komuniti serta kesedaran mengenai hubungan antara biodiversiti, budaya dan keselamatan makanan.
“Usaha juga akan dilakukan untuk memastikan sumber genetik dikumpul dan pengetahuan tradisional direkodkan, disimpan serta boleh diakses dengan betul untuk generasi akan datang.
“Dengan memelihara benih asli sekarang, Sabah berhasrat untuk memastikan pilihannya terbuka untuk pertanian, perubatan dan daya tahan ekologi dalam beberapa dekad akan datang.”
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja SSR Jackson R Jaimi berkata, program tersebut mengumpulkan 508 varieti tumbuhan berbeza sejak dilancarkan pada 2021.
Katanya, koleksi itu merangkumi 271 spesies herba, 114 varieti padi tradisional dan 123 jenis buah-buahan tempatan.
“Sehingga 19 Mei lalu, sebanyak 16 daerah di seluruh Sabah menyumbang bahan tanaman kepada program ini.
“Tahun ini sahaja sebanyak 94 jenis tumbuhan baharu diserahkan kepada Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran.
“Penyerahan itu membabitkan benih padi, herba dan buah-buahan yang dikenal pasti berdasarkan nilai warisan, kepelbagaian genetik serta potensi untuk penyelidikan dan pembangunan tanaman masa depan,” katanya.