RANAU: Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai memukul dan mengugut bunuh seorang pemuda dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, pada 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin Mahmud berkata polis menerima laporan daripada mangsa berusia 19 tahun itu pada 21 Mei kira-kira jam 3.56 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, 19 Mei lalu, di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang.
“Mangsa yang bekerja sebagai penimbang kelapa sawit dikatakan sedang membeli barangan dapur sebelum terserempak dengan suspek yang dikenalinya,” katanya dalam kenyataan Rabu.
Menurutnya, tanpa sebarang provokasi jelas, suspek bertindak memarahi mangsa sebelum mengeluarkan (senjata) buku lima berwarna emas dan mengugut mangsa dengan kata-kata berbaur ancaman.
“Selepas itu, suspek menyimpan semula buku lima berkenaan ke dalam poket seluar sebelum bertindak memukul dan menendang mangsa berulang kali,” katanya.
Advertisement

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bibir serta sakit berpanjangan pada bahagian bahu kiri dan belakang badan.
Mursalin berkata, mangsa sudah mendapatkan rawatan dan laporan perubatan akan dijadikan sebahagian daripada bahan bukti siasatan.
Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial.
Menurutnya, semakan mendapati suspek yang berasal dari Kampung Matupang dan Kampung Terikon, di sini, pernah terbabit dalam kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pada 29 Okt 2014 dan kes berkenaan sudah selesai.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan di balai polis berhampiran.