Kundasang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai , bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini, melibatkan 17 jenis barangan keperluan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi SHMMP Kaamatan di Sabah, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan, termasuk dua barangan baharu iaitu halia tua import dan ubi kentang dari China, berbanding hanya 10 jenis barangan pada tahun lalu.
Beliau berkata, antara barangan yang dikawal ialah babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India), kepak ayam, cil kering keriting, bawang meraih kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar, bawang meraih besar, halia tua import dan ubi kentang (China).
Katanya, sebanyak 12 jenis barangan turut disenaraikan sempena Hari Gawai di Sarawak iaitu babi hidup, daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import, bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan serta kerbau import (India), yang merupakan jenis barangan baharu tambahan.
“Di Wilayah Persekutuan Labuan pula, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan termasuk daging babi, daging kerbau import, kepak ayam, cili kering kerinting, bawang, halia tua import dan ubi kentang China,” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di sini, Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin.
Advertisement

Armizan berkata, perbandingan pelaksanaan SHMMP antara 2025 dan 2026 menunjukkan trend harga lebih stabil di Sabah dan Labuan, dengan enam barangan mencatatkan penurunan harga di kedua-dua kawasan itu.
Katanya, di Sabah tiga barangan mengekalkan harga sedia ada selain dua barangan baharu diperkenalkan, manakala di Labuan dua barangan mengekalkan harga dan dua lagi diperkenalkan sebagai tambahan baharu.
“Bagi Hari Gawai 2026 di Sarawak, lima barangan mencatatkan penurunan harga, tiga kekal dan satu barangan baharu diperkenalkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, penentuan jenis barangan serta harga maksimum dibuat melalui perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan selain mengambil kira pandangan pemain industri.
Katanya, SHMMP dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan harga maksimum boleh disemak menerusi laman sesawang rasmi KPDN.
Beliau berkata, penguatkuasaan sempena SHMMP akan digerakkan melibatkan penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat beli-belah bagi memantau pematuhan skim berkenaan.
Pada masa sama, katanya, pendekatan penguatkuasaan secara berhemah turut dilaksanakan menerusi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika.
“Kita berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan di bawah SHMMP.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta 723,” katanya.
Menurutnya, individu yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000, atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” tegasnya.
Armizan berkata, KPDN akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Katanya, langkah intervensi juga akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Harga Barang dan Bekalan Antara Kementerian bagi membantu menangani isu harga dan kos sara hidup rakyat.
“Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Payung Rahmah termasuk Program Jualan Rahmah Madani dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) sebagaimana yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu,” katanya.