Tuaran: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah sekali lagi berdepan cabaran dalaman apabila Naib Ketua Wanita PKR Sabah, Artini Ali Taugan
(gambar), mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan dalam semua posisi yang disandangnya, berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan itu dilihat mengikut jejak bekas Ketua Cabang PKR Tuaran, Mohammad Razeef Rakimin, yang sebelum ini turut mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti.
Melalui kenyataan dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Rabu, Artini turut memaklumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR Cabang Tuaran serta Penyelaras PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan serta hala tuju perjuangan parti berkenaan ketika ini.
“Dengan lafaz Bismillah, saya Artini binti Ali Taugan dengan ini melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Wanita PKR Sabah, Ketua Wanita PKR Tuaran dan Penyelaras PKR DUN Sulaman berkuat kuasa serta-merta.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa saya dengan ini keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan permohonan pembatalan keanggotaan telah saya lakukan melalui aplikasi Adil,” katanya.
Advertisement

Pada masa sama, Artini turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli parti atas peluang yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam PKR, selain berharap silaturahim dengan rakan seperjuangan yang masih berada dalam parti itu terus kekal terjalin.
Peletakan jawatan Artini dilihat menambah tekanan kepada kepimpinan PKR Sabah dan pusat susulan beberapa perkembangan terkini membabitkan pemimpin parti itu.
Antaranya, bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang dilaporkan mengumumkan keluar parti baru-baru ini.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan PKR Sabah berhubung keputusan Artini dan Mohammad Razeef meninggalkan parti.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Wanita PKR Cabang Putrajaya, Sateerah Hassan, pada Selasa turut mengumumkan peletakan jawatan daripada parti berkuat kuasa serta-merta.