KOTA BELUD: Lima lelaki yang menjalankan kerja-kerja mengukur tanah terkandas di seberang sungai akibat arus deras di Kampung Melangkap di sini, pada Rabu, diselamatkan pasukan bomba dalam operasi mencabar yang berlanjutan sehingga pagi Khamis.
Dalam kejadian itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 petang Rabu sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 35km.
Ketua BBP Kota Belud, Elge Bakuk berkata, setibanya di laluan utama lokasi pada jam 6.33 petang, pasukan bomba berjalan kaki sejauh 5km di kawasan hutan dan menyusuri tebing sungai sebelum menemui kesemua mangsa pada jam 12.45 tengah malam.
Menurutnya, operasi turut berdepan kesukaran berikutan laluan berbukit dan curam selain ketiadaan liputan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) serta talian telefon, yang menyukarkan komunikasi sepanjang operasi dijalankan.
Beliau berkata, lampu suluh anggota juga kehabisan cas ketika operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam keadaan gelap.
“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat pada jam 5.50 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi Khamis,” katanya.
Advertisement

Operasi membabitkan sebuah jentera FRT bersama empat anggota, sebuah EMRS dengan dua anggota serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Vigo bersama dua anggota.
Di NABAWAN, Jalan Pamuntarian–Ulu Mosopoh yang tidak dapat dilalui sejak Sabtu lalu akibat banjir, kini kembali boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan, sekali gus menghubungkan semula penduduk enam kampung ke pekan Nabawan.
Ketua Kampung Salarom Baru, Lumambai Antawor berkata, sejak jalan itu ditenggelami air, semua jenis kenderaan tidak dapat melaluinya menyebabkan penduduk terputus hubungan dan bantuan makanan sukar dihantar ke kawasan terjejas.
Menurut beliau, keadaan itu turut menjejaskan usaha penghantaran bekalan makanan kepada penduduk yang terputus jalan perhubungan akibat banjir.
Tambahnya, turut terjejas adalah perjalanan guru-guru dan pelajar di dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pamuntarian dan SK Ulu Mosopoh.
Bagaimanapun, katanya, pada Selasa lalu pihak Pejabat Adun Nabawan dan Adun Tulid mengambil inisiatif menyalurkan bantuan makanan melalui kaedah alternatif.
“Barang bantuan dihantar menggunakan kenderaan sehingga ke lokasi tertentu sebelum dipindahkan ke kenderaan lain di seberang kawasan banjir dengan bantuan tenaga manusia yang terpaksa meredah air hingga ke paras bahu,” katanya.
Bantuan segera itu disumbangkan oleh Adun Nabawan, Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Adun Tulid, Jordan Jude Ellron. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Nabawan, Deckson Andipai bagi mewakili Abdul Ghani manakala Antan Anginsor mewakili Jordan.
Sementara itu, wakil penduduk, Ambilek Omopor merakamkan penghargaan kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit atas bantuan segera yang diberikan sementara menunggu bantuan susulan yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Nabawan Marshal Anthony @ Idham.
Ambilek, yang juga Pengerusi JKKK Kampung Salarom Baru, berkata selain bantuan makanan, penduduk berharap jalan Pamuntarian–Ulu Mosopoh dapat dinaik taraf segera bagi mengatasi masalah limpahan air ketika musim hujan dan banjir.
Katanya, terdapat beberapa lokasi di sepanjang jalan berkenaan sering ditenggelami air sehingga tidak boleh dilalui oleh kenderaan setiap kali banjir berlaku.