TAWAU: Tindakan pantas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan kira-kira 2,000 rumah daripada turut musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan Laut, Blok 6, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata kejadian itu memusnahkan tiga rumah tidak kekal, manakala seorang wanita berusia 65 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas.
Advertisement

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
Menurutnya, tiga rumah berkeluasan 200x100 kaki persegi musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.
Beliau berkata seramai 21 anggota BBP Tawau dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang dengan operasi diketuai Komander Operasi, PBK II Azlan Awang Ki.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.40 petang dan segera menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan penempatan padat berhampiran.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air daripada lori tangki air serta pili bomba berhampiran.
“Hasil tindakan pantas anggota di lokasi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.06 petang, sekali gus menyelamatkan kira-kira 2,000 rumah di kawasan itu,” katanya.
Jemishin berkata operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
Operasi turut dibantu Bomba Komuniti Titingan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).