Tenom: Seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun ditemukan terapung di Sungai Padas berhampiran Empangan Hidroelektrik Tenom Pangi, di sini, pada pagi Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, ASP Ahmad Razali Shaari, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Alif Lukman Bujang dari Keningau dan merupakan pelajar di SMK Kemabong.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan tertiarap berhampiran tebing sungai sebelum dihantar ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata rekod polis menunjukkan satu laporan telah dibuat pada Ahad (10 Mei) mengenai seorang pelajar yang keluar dari asrama SMK Kemabong pada jam 7 pagi, oleh warden asrama lelaki sekolah berkenaan.
Katanya, pengecaman terhadap pakaian mangsa mengesahkan ia sepadan dengan uniform asrama sekolah tersebut.
Beliau berkata pemeriksaan awal oleh doktor di lokasi kejadian dan hospital mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
Punca kematian masih belum dapat dipastikan dan bedah siasat dijadual dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada Selasa, katanya.
Sementara itu, satu pasukan khas daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap kes berkenaan.