SANDAKAN: Cadangan untuk membina Walai Tokou, sebuah pusat kebudayaan tradisional Kadazan Dusun bagi komuniti Skim Sungai Manila adalah tepat pada masanya kerana memenuhi keperluan yang telah lama dinantikan oleh penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manila merangkap Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Hazem Mubarak Musa berkata cadangan itu amat relevan memandangkan jumlah penduduk Kadazan Dusun yang ramai di kawasan Skim Sungai Manila.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Katanya, pusat yang dicadangkan itu bukan sahaja akan menjadi hab kebudayaan malah berfungsi sebagai tempat pertemuan komuniti daripada pelbagai latar belakang termasuk sebagai lokasi untuk bersama-sama meraikan Pesta Kaamatan dalam semangat keharmonian dan perpaduan.
“Kami akan meneliti keperluan untuk mewujudkan pusat seperti ini di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Skim Sungai Manila di Dewan PPR Pekan Muhibah, Batu 12, pada Ahad.
Hazem turut berharap agar penganjuran pesta itu dapat diperluaskan pada skala lebih besar pada tahun-tahun akan datang serta menyeru generasi muda untuk terus menghargai dan memelihara adat serta warisan yang diwariskan turun-temurun.
Sementara itu, Pengerusi KDCA Skim Sungai Manila merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Sariah Duling berkata cadangan walai tokou itu disambut baik oleh komuniti setempat.
Beliau berkata pusat itu akan menyediakan ruang khusus bukan sahaja untuk sambutan Kaamatan, tetapi juga bagi pelbagai aktiviti komuniti sepanjang tahun.
Selain itu, Sariah berharap pesta terbabit dapat dianjurkan setiap tahun dan wakil Unduk Ngadau Skim Sungai Manila suatu hari nanti dapat bersaing di peringkat negeri.