Kota Kinabalu: Seorang buruh berusia 30 tahun yang menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menikam menggunakan pisau dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta satu sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jasli Majilan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan pada Khamis.
Jasli didakwa menyerang isterinya yang berusia 31 tahun menggunakan senjata itu pada jam 10 pagi, 5 Disember 2025 di sebuah bilik sewa di Jalan Padang Merdeka.
Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya Jasli yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai tujuh orang anak untuk ditanggung.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman tegas dan bersifat pencegahan selaras dengan keseriusan kesalahan itu.
Advertisement

Beliau berhujah bahawa cara kesalahan dilakukan menunjukkan tahap keganasan yang tinggi.
“Tertuduh menikam mangsa di bahagian rusuk kiri iaitu kawasan penting yang berhampiran organ utama. Walaupun hanya satu tikaman ia tetap membawa risiko kematian yang nyata.
“Hakikat mangsa terselamat tidak mengurangkan keseriusan perbuatan tersebut.
“Tindakan menikam itu jelas menunjukkan keganasan yang disengajakan dan terarah, bukan pergaduhan kecil atau kecederaan tidak sengaja.
“Penggunaan pisau dan sasaran ke arah tubuh mangsa membuktikan peningkatan penggunaan kekerasan yang berbahaya.
“Kesalahan ini bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal malah trauma psikologi kepada mangsa termasuk ketakutan dan tekanan emosi berpanjangan,” katanya.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pada hari kejadian pengadu menerima panggilan daripada seorang lelaki Amir Julamin yang memaklumkan bahawa adik tirinya iaitu mangsa telah ditikam oleh Jasli di bahagian perut.
Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi di bilik sewa di Jalan Padang Merdeka.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh mencederakan mangsa dengan menikam bahagian rusuk kiri menggunakan pisau.
Fakta kes menyatakan mangsa dan tertuduh adalah suami isteri yang berkahwin mengikut adat kampung pada 27 Oktober 2009 di Skim Penempatan Telipok namun perkahwinan mereka tidak didaftarkan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.
Kecederaan dialami mangsa dilaporkan sebagai kecederaan tembus di bahagian kiri dinding dada dengan sedikit emfisema subkutaneus serta lebam ringan pada paru-paru.
Tertuduh didapati menyebabkan kecederaan tersebut dengan menggunakan pisau.