PAITAN: Aspirasi masyarakat Sungai di daerah ini untuk memiliki sebuah pusat khusus bagi menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan tercapai apabila Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Paitan siap sepenuhnya.
Naib Presiden 1 KDCA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut Datuk James Ratib berkata pembinaan dewan berkenaan adalah untuk memperkasa pembangunan sosial dan kebudayaan masyarakat pribumi, khususnya etnik Sungai yang merupakan antara kelompok utama di kawasan Pantai Timur Sabah.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Bagi memastikan aspirasi masyarakat Sungai tercapai kita hadiahkan tanah seluas tiga ekar untuk pembinaan Dewan KDCA dengan kos kira-kira RM500,000 di bawah peruntukan Adun Sugut.
“Selepas dua tahun, Dewan KDCA ini akhirnya siap dan dirasmikan oleh Presiden KDCA yang juga Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,” katanya pada sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Paitan pada Khamis.
James yang juga Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) berkata, dewan seluas kira-kira 4,000 kaki persegi itu direka dengan konsep terbuka dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk tandas, ruang mesyuarat, pentas serta kemudahan lain yang sesuai untuk pelbagai program kemasyarakatan.
Katanya, dewan itu juga mampu menampung lebih 300 orang pada satu-satu masa dan dijangka menjadi pusat utama bagi penganjuran sebarang aktiviti kebudayaan, pendidikan, sosial dan pembangunan masyarakat setempat.
“Ini bukan sekadar sebuah bangunan tetapi simbol penghargaan kepada masyarakat Sungai yang sekian lama menantikan sebuah pusat untuk memartabatkan budaya, adat resam dan warisan mereka sekali gus memenuhi aspirasi etnik itu sebagai salah satu kaum di bawah rumpun Paitanik KDMR.”
Dewan KDCA Paitan, katanya, juga akan menjadi mercu tanda baharu daerah ini dan lambang pengiktirafan terhadap peranan penting masyarakat Sungai dalam landskap kebudayaan Sabah.
Menurutnya, dengan wujudnya kemudahan ini, generasi muda akan mempunyai ruang untuk mengenali, mempelajari dan meneruskan warisan nenek moyang etnik Sungai yang mempunyai identiti budaya yang sangat kaya dan unik.
Beliau berharap dewan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat untuk menganjurkan pelbagai program yang mampu memperkukuhkan perpaduan dan semangat kekitaan.