SEMPORNA: Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak merampas 2,200 liter petrol dalam Op Taring Esscom dan Op Taring Bravo 1 di perairan utara Pulau Mataking pada Sabtu.
PGA Kunak dalam kenyataan berkata pasukan itu menjalankan operasi bersepadu di kawasan terbabit berdasarkan maklumat risikan dan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
Semasa pemeriksaan ke atas bot itu, pasukan turut menemui sebuah lagi bot mencurigakan berdekatan yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan.
Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua bot menemukan 88 tong putih yang masing-masing berisi 25 liter petrol. Pasukan turut merampas dua enjin, dua kipas propeller dan dua bot laju.
Berdasarkan maklumat awal, semua rampasan bernilai kira-kira RM41,830 itu dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan ke negara jiran.
Kedua-dua juragan bot ditahan dan semua rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, PGA Kunak akan terus memperhebatkan risikan dan komited membanteras kegiatan penyeludupan serta aktiviti pelanggaran undang-undang di Esszone bagi memastikan keselamatan dan integriti perairan Sabah terus terjamin.
BOT yang ditahan dalam operasi itu.