PUTRAJAYA: Sebarang pembelian petrol dan diesel untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan di stesen minyak adalah tertakluk kepada kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, mana-mana pihak yang ingin membeli bahan api untuk kegunaan selain tangki kenderaan, termasuk bagi tujuan operasi tertentu, diwajibkan memohon Permit Khas AKB terlebih dahulu.
Menurutnya, di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, stesen minyak hanya dibenarkan menjual bahan api kepada tangki asal kenderaan atau tangki yang telah diluluskan oleh agensi berkaitan.
“KPDN mengambil maklum tentang isu tular di media arus perdana dan laman sosial berhubung pengisian petrol ke dalam tong atau bekas tertentu yang berlaku hingga mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat baru-baru ini.
“Justeru, penjualan kepada mana-mana pihak lain hanya dibenarkan sekiranya individu, syarikat atau organisasi itu memiliki Permit Khas yang sah daripada KPDN.
“Permit ini diperlukan khususnya bagi pembelian dalam kuantiti 20 liter ke atas, dan harga yang dikenakan adalah berdasarkan harga pam semasa di stesen minyak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Rabu.
Azman menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan mengawal pergerakan barang kawalan dan bersubsidi seperti petrol dan diesel daripada diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, permohonan Permit Khas boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan (SPB) KPDN, dan ia ditawarkan secara percuma kepada pihak yang layak dan sehingga kini terdapat 10 kategori yang layak memohon permit itu, antaranya melibatkan penggunaan forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau.
“Termasuk, pengusaha industri makanan, aktiviti rekreasi air, sektor pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, kerja penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil.
“Pemegang Permit Khas yang diluluskan, dibenarkan membeli petrol atau diesel menggunakan bekas seperti tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang selamat dan sesuai, tertakluk kepada kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh dan kekerapan pembelian yang ditetapkan dalam permit.
“Bagaimanapun, tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan membeli bahan api ke dalam tong atau bekas di stesen minyak, namun pengecualian hanya diberikan bagi kes kecemasan, dengan kuantiti pembelian tidak melebihi 20 liter,” tegasnya.
Dalam pada itu, KPDN mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk kompaun atau pendakwaan di mahkamah.
Katanya, orang ramai turut digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan, talian pusat panggilan serta aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.
“KPDN komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan pengedaran bahan api bersubsidi dapat dikawal dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.