KINABATANGAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membongkar kegiatan penyimpanan rokok tanpa cukai dan mercun selepas menyerbu tiga premis tidak bernombor di Kampung Paris III, di sini, Rabu lalu.
Dalam operasi 11 Mac itu, pasukan keselamatan merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM850,000 termasuk cukai.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata serbuan berkenaan dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan rokok di kawasan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di tiga premis itu menemukan rokok pelbagai jenama, termasuk Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak yang disembunyikan dalam kotak serta plastik.
“Rampasan ini dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Victor berkata kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Esscom dalam membanteras jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
“Esscom akan terus memperhebat operasi khas bagi mengekang elemen yang boleh menggugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam, khususnya di Sabah Timur.
“Kita juga akan mempergiat koordinasi operasi bersama agensi keselamatan lain untuk membanteras aktiviti jenayah seperti rompakan laut dan penyeludupan kontraban di kawasan daratan serta perairan Esszone,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp di 011-63311072.