Tenom: Calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) baru-baru ini Cheld Lind meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah menjelaskan beberapa buah rumah di Kampung Binai dan Kampung Mansalima berada di luar kawasan perlindungan tembok Projek Tebatan Sungai Padas yang kini sedang dalam pembinaan.
Menurut penduduk jajaran tembok Projek Tebatan Sungai Padas, Lembangan Sungai Padas itu tidak meliputi sebahagian kawasan penempatan yang terjejas setiap kali berlaku banjir besar.
Selain isu keselamatan penduduk Cheld turut membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi terhadap hidupan liar khususnya spesies yang bergantung kepada laluan semula jadi di sepanjang Sungai Padas.
“Pembinaan tembok yang panjang dan berterusan itu dibimbangi akan menghalang pergerakan hidupan liar seperti babi hutan, rusa, biawak, landak dan haiwan kecil lain untuk kembali ke habitat asal mereka.
“Ini akan meningkatkan risiko konflik manusia-haiwan apabila haiwan mencari laluan alternatif dan memasuki kawasan kampung.
“Ia juga akan mengganggu ekosistem sungai khususnya hidupan akuatik yang bergantung kepada fungsi semula jadi tebing sungai untuk pembiakan dan mencari makanan,” katanya.
Cheld berkata penduduk memerlukan jawapan yang jelas dan rasmi daripada JPS Sabah mengenai beberapa isu utama termasuk rasional teknikal pembinaan tembok yang tidak merangkumi kawasan penempatan di Kampung Binai dan Kampung Mansalima.
“Mereka ingin tahu sama ada projek ini mempunyai fasa lanjutan untuk melindungi kawasan berisiko tinggi yang masih terdedah dan apakah langkah tebatan banjir alternatif yang disediakan untuk kawasan yang tidak dilindungi seperti laluan lencongan air atau takungan.
“Tambahan pula apakah risiko keselamatan jangka panjang terhadap penduduk apabila projek ini siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata isu berkenaan bukan sahaja melibatkan keselamatan manusia tetapi keseimbangan ekologi yang merupakan ciri penting kawasan pedalaman Tenom.