Tenom: Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam insiden membabitkan sebuah kereta api dan empat motosikal troli di Batu 11 sepanjang laluan Tenom–Pangi pada pagi Selasa.
Supt Azmir B. Abd. Razak berkata satu laporan polis dibuat berhubung kejadian pada jam 8 pagi, Selasa.
Beliau berkata kereta api itu yang dalam perjalanan ke Kampung Pangi dipercayai hilang kawalan apabila breknya gagal berfungsi lalu melanggar empat motosikal troli di landasan.
“Seorang lelaki mengalami kecederaan ringan manakala tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada banjir dan tanah runtuh di bahagian tengah landasan, yang memaksa perkhidmatan kereta api dihentikan di Batu 11.
Penduduk dari kawasan lebih jauh terpaksa mencari alternatif untuk ke destinasi masing-masing, termasuk menggunakan motosikal troli atau berjalan kaki.
Azmir menasihatkan pengendali perkhidmatan kereta api supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan operasi terutama di laluan berisiko tinggi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan landasan kereta api walaupun berdepan kekangan akses jalan raya di kawasan itu demi keselamatan penumpang dan pengguna landasan.
Polis menegaskan pemeriksaan keselamatan akan diteruskan sebelum perkhidmatan kereta api dibenarkan beroperasi semula.
Orang ramai juga diingatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko lanjut.
Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) digesa menjalankan siasatan penuh berhubung insiden berkenaan khususnya dakwaan kegagalan brek kereta api terlibat.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Datuk Jamawi Jaafar berkata insiden itu amat membimbangkan kerana melibatkan keselamatan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan kereta api di laluan pedalaman.
“Difahamkan tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan motosikal troli di landasan berjaya memperlahankan dan akhirnya menghentikan kereta api itu sekali gus mengelakkan berlaku tragedi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keberanian dan keprihatinan penduduk kampung yang bertindak segera ketika kecemasan,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap itu berkata keselamatan penumpang, khususnya guru dan murid, mesti diberi keutamaan dan pemeriksaan keselamatan berkala perlu diperkukuh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Pada masa sama, Jamawi menggesa JKNS agar segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang telah diluluskan Ketua Menteri pada awal 2025.
Beliau berkata seorang kontraktor sudah dilantik dan projek itu amat dinantikan penduduk sebagai laluan alternatif yang lebih selamat dan efisien.
Jamawi berkata beliau akan terus memantau perkembangan bagi menjaga kepentingan serta keselamatan penduduk di pedalaman.