Tenom: Seorang lelaki maut dipercayai ditembak abangnya sendiri dalam satu kejadian tembakan menggunakan “bakakuk” atau senjata buatan sendiri di Kampung Kangkawang, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun ditemukan dengan lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tenom, Supt Azmir Abd Razak, berkata polis menerima maklumat awal mengenai kejadian tembakan itu daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati suspek, lelaki berusia 57 tahun yang juga abang kepada mangsa, berada di dalam rumah dengan bersenjatakan bakakuk serta mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, polis kemudian melakukan kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan itu tidak diendahkan.
“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan bagi memaksa suspek keluar, namun suspek masih enggan dan bertindak agresif,” katanya.
Beliau berkata suspek kemudian mengacukan senjata ke arah anggota polis dari dalam rumah, menyebabkan seorang pegawai melepaskan tiga das tembakan menggunakan senjata jenis HK MP5 bagi mempertahankan diri.
“Tembakan tersebut mengenai bahagian lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek,” katanya.
Tambahnya, pasukan polis kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan mendapati suspek terbaring di bahagian dapur bersama senjata yang digunakan dalam kejadian itu. Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi.
Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk bakakuk, HK MP5, peluru hidup, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.