Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 34 tahun yang sedang dibicara atas tuduhan merogol anak perempuannya, dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun dan dikenakan 10 kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu apabila dia menukar pengakuannya selepas pendakwaan memanggil lima saksi semasa perbicaraan.
Lelaki itu mengaku bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan 11 bulan itu antara jam 10.30 pagi dan jam 11.15 pagi pada 23 April tahun ini di dalam bilik sebuah rumah di Putatan.
Dia melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula 23 Mei tahun ini.
Semasa mitigasi, lelaki terbabit yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia menyesali perbuatannya dan memohon maaf.
Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai anak kecil untuk dijaga dan menghidap tekanan darah tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan lelaki itu telah merogol anak kandungnya.
Eugenie turut mengemukakan bahawa lelaki itu sepatutnya melindungi mangsa daripada dieksploitasi secara seksual namun dialah yang menghancurkan masa depan anaknya sendiri.
Beliau menambah lelaki itu sepatutnya menjadi individu yang membimbing mangsa, memandangkan peranan penting yang dimainkan dalam hidupnya.