KENINGAU: Daerah ini mencatatkan kerugian RM2.44 juta sepanjang 2025 akibat jenayah komersial.
Menurut Ketua Polis Daerah, Supt Yampil Anak Garai, sebanyak 145 kertas siasatan dibuka dengan 51 suspek ditahan membabitkan jenayah itu.
Bagi tempoh Januari hingga 22 Mac tahun ini pula, 49 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM366,000 dan 13 suspek ditahan.
Kebanyakan kes melibatkan penipuan dalam talian di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Yampil menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan kewangan dalam talian, tidak mudah terpedaya dan mengelak menekan pautan mencurigakan.
Sempena sambutan Hari Polis ke-219 di IPD Keningau, seramai 56 anggota polis menerima sijil penghargaan, termasuk pesara polis, pengamal media, NGO dan syarikat swasta.
Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama masyarakat dalam membendung penyalahgunaan dadah.
Sepanjang 2025, sebanyak 629 operasi dijalankan, dengan rampasan 513.40 gram syabu dan 777 individu diperiksa.
Sehingga 22 Mac 2026, 150 operasi dilaksanakan dengan rampasan 198.09 gram syabu dan 307 individu diperiksa.
Statistik jenayah menunjukkan 143 kes direkodkan pada 2025 berbanding 123 kes pada 2024. Setakat Mac 2026, kes jenayah menurun kepada 22 kes.
Jenayah indeks 2025 melibatkan 40 kes kekerasan dan 103 kes harta benda, dengan kadar penyelesaian 88.81 peratus.
Bagi aspek trafik, 969 kemalangan direkodkan pada 2025 dengan 24 kematian, manakala sehingga Mac 2026, kemalangan menurun kepada 197 kes, dengan hanya satu kematian.
“Pihak polis akan terus mempergiatkan rondaan dan penggunaan teknologi dalam pencegahan jenayah, selaras dengan transformasi PDRM ke arah kepolisan moden,” tegas beliau.