Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 15 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melibatkan harta curi.
Mohd Nazrul mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Bagi pertuduhan pertama dia dihukum penjara lapan bulan kerana membantu melupuskan barangan curi iaitu sebuah televisyen, penyesuai, alat kawalan jauh, ketuhar gelombang mikro dan patung beruang pada jam 1.30 petang, 10 Mac lalu di sebuah unit di Apartmen UUC, Manggatal.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah memiliki dua kipas elektrik milik Ariklin Denley di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes pertama laporan polis dibuat selepas barangan milik seorang penyewa di rumah bapa saudara pengadu didapati hilang.
Selepas ditahan Nazrul mengaku mengetahui lokasi barangan yang dicuri dan membawa polis ke tempat barang tersebut disimpan sebelum ia dikenal pasti oleh pemiliknya.
Bagi pertuduhan kedua pula dua kipas elektrik itu adalah antara barangan yang dilaporkan hilang selepas rumah ibu saudara pengadu dipecah masuk pada 2 Mac tahun ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.