Kota Kinabalu: Dakwaan mengenai kewujudan “Kg Asaon” serta tindakan sekumpulan pihak yang mendakwa mewakili Suara Mahasiswa UMS berhubung isu tanah kerajaan di Matunggong hanya memburukkan keadaan kerana kawasan itu tidak pernah diwartakan secara rasmi sebagai sebuah kampung.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Matunggong, Alexyus Matius berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang didakwa dibina secara haram di kawasan berkenaan adalah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan berkaitan tanah kerajaan.
“Sebagai anak jati Matunggong, saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini berdasarkan fakta. Ini penting bagi memastikan masyarakat menerima maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan naratif mengelirukan,” katanya dalam kenyataan.
Alexyus berkata, kawasan itu sejak sekian lama diketahui sebagai tanah kerajaan yang diwartakan untuk tujuan pembangunan masa depan di Matunggong dan bukannya penempatan kampung yang diiktiraf secara sah.
Beliau berkata, penduduk kampung berhampiran seperti Kampung Tuid, Kampung Hobut dan Kampung Sumangkap memahami sejarah serta status sebenar tanah itu, yang diketahui milik kerajaan dan bukannya tanah hak adat anak negeri (NCR) persendirian seperti didakwa pihak tertentu.
Menurutnya, isu berkenaan tidak akan menjadi lebih tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar kawasan terbabit.
Advertisement

Beliau turut menyentuh penglibatan individu yang didakwa terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Mengulas cubaan mengaitkan Adun Matunggong, Datuk Julita Majungki dengan isu itu, Alexyus berkata wakil rakyat berkenaan sememangnya memahami sejarah, status dan kedudukan sebenar tanah terbabit.
“Sebagai pemimpin kawasan, beliau tentu lebih arif mengenai perancangan pembangunan dan proses pentadbiran tanah di Matunggong berbanding pihak luar,” katanya.