Kota Kinabalu: Amalan menabung secara konsisten dan berdisiplin di Tabung Haji (TH) sejak awal antara faktor utama yang membolehkan bakal jemaah haji Sabah terpilih sebagai “Tetamu Allah” bagi musim haji tahun ini.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, keberangkatan jemaah pada tahun ini bukan sekadar satu perjalanan fizikal, malah merupakan satu anugerah besar yang mencerminkan kesungguhan serta ketekunan luar biasa dalam merancang masa depan kewangan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Amalan menabung secara konsisten bukan sahaja mencerminkan perancangan kewangan yang bijaksana, malah menjadi bukti dengan kesabaran, perancangan, dan usaha yang berterusan, seseorang itu mampu mencapai syarat kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
“Saya percaya ini juga mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh bakal haji yang telah memulakan langkah menabung sejak sekian lama, dengan penuh disiplin dan istiqamah di Tabung Haji, demi mencapai impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Keupayaan mengurus kewangan secara teliti menerusi Tabung Haji membuktikan perancangan jangka masa panjang mampu merealisasikan impian menunaikan rukun Islam kelima tersebut,” katanya ketika menyampaikan perutusan Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada Jemaah Haji Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Isnin.
Bagi musim kali ini, seramai 1,195 bakal haji dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk 142 jemaah, dijadualkan berlepas ke Tanah Suci melalui inisiatif Makkah Route.
Program tersebut merupakan kemudahan pra-pelepasan yang bertujuan mempercepatkan urusan imigresen, kastam dan kesihatan sekali gus memastikan keselesaan maksimum buat para jemaah setibanya di Arab Saudi.
Musa turut menitipkan pesanan agar jemaah sentiasa menjaga adab, mengekalkan disiplin serta memantau kesihatan sepanjang berada di bumi suci supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna, selain mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Sabah serta Malaysia agar terus dilindungi dan diberkati.
Terdahulu, seramai 142 bakal jemaah haji dari Sabah berlepas ke Tanah Suci malam Isnin melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi.
Penerbangan tersebut dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada jam 4.45 pagi menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines.
Majlis Mengucapkan Selamat Berangkat kepada kumpulan bakal haji berkenaan disempurnakan oleh Musa.
Dalam perutusannya, Musa menzahirkan rasa syukur dan berharap jemaah dapat memanfaatkan peluang sebagai tetamu Allah dengan memperbanyakkan ibadah, menjaga disiplin serta memelihara nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.
Bagi musim haji 1447H/2026M, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan seramai 1,195 jemaah haji melibatkan 507 lelaki dan 688 wanita.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.