Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 49 tahun didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memiliki produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar serta tanpa pemberitahuan.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Shagul Hameed Seeni Mohamed pada Rabu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan.
Advertisement

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM2,000 atau empat bulan penjara kerana memiliki 12 jenis produk termasuk minyak aromaterapi, krim dan ubat sapu yang tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai di Ranau pada 13 Jun 2024.
Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didenda RM2,000 atau empat bulan penjara kerana memiliki 11 jenis kosmetik tanpa pemberitahuan termasuk krim pemutih dan sabun pemutih di lokasi serta masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Penguat Kuasa Farmasi Sabah Angeline Francis William.