Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri diminta campur tangan segera dalam konflik perebutan tanah di Kampung Asaon, Matunggong susulan dakwaan penduduk diusir secara kasar dalam operasi perobohan rumah baru-baru ini.
Setiausaha Pemuda Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) Sabrezani Ghani
(gambar) berkata pihaknya memandang serius insiden yang membawa kepada operasi perobohan rumah serta pengusiran penduduk di kampung berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan tersebut bukan sahaja mencetuskan krisis kemanusiaan malah memerlukan perhatian segera pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Sabah.
“Kemelut yang melanda penduduk Kampung Asaon merupakan tanggungjawab langsung wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Matunggong dan Ahli Parlimen Kota Marudu. Ia amanah moral mereka untuk segera turun padang dan bertindak menyelesaikan konflik ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya masyarakat Kampung Asaon tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam mempertahankan hak tanah adat yang diwarisi turun-temurun.
Menurutnya tanah adat bukan sekadar kawasan fizikal tetapi melibatkan maruah, identiti, sejarah, budaya, sumber ekonomi dan kelangsungan hidup masyarakat pribumi Sabah.
Advertisement

Sehubungan itu Sabrezani berkata Anak Negeri menuntut siasatan segera terhadap dakwaan pertindihan kelulusan geran tanah dengan Hak Adat Anak Negeri (NCR) yang disifatkannya sebagai konflik serius.
“Jika tanah itu terbukti diduduki penduduk kampung lebih awal daripada tarikh kelulusan geran kepada syarikat atau individu terbabit, kami mendesak siasatan forensik tanah dilakukan segera.
“Undang-undang Sabah mesti mempertahankan hak pendudukan awal anak negeri dan bukannya memihak kepada ‘penceroboh berdokumen’,” katanya.
Sabrezani berkata Anak Negeri juga mahu trend didakwa “kelulusan rahsia” dihentikan iaitu tanah diluluskan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan penduduk kampung.
“Terlalu banyak kes di Sabah menyaksikan masyarakat anak negeri menjadi mangsa apabila tanah adat mereka dipohon syarikat luar dan diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah secara senyap dan tanpa rundingan dengan komuniti setempat.
“Anak Negeri menuntut sistem yang lebih telus. Sebarang permohonan tanah berskala besar oleh entiti komersial wajib disemak silang dengan komuniti setempat bagi mengelakkan rampasan hak secara halus.
Tambahnya kewujudan kubur nenek moyang serta kebun lama di kawasan berkenaan merupakan bukti fizikal bahawa tanah itu telah lama diduduki penduduk kampung.
“Penduduk Kampung Asaon bukan penceroboh baharu mahupun pendatang asing. Kewujudan kubur lama dan pokok tanaman tua adalah bukti fizikal yang tidak boleh disangkal,” ujarnya.
Beliau berkata elemen itu turut diiktiraf di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 sebagai bukti hak pendudukan adat yang sah.
Sabrezani turut menggesa Adun Matunggong dan Ahli Parlimen Kota Marudu mengetuai usaha pembelaan melalui proses perundangan termasuk menyemak status rasmi tanah serta membantu penduduk mendapatkan fail berkaitan daripada Jabatan Tanah dan Ukur.
Katanya wakil rakyat juga perlu membantu komuniti mengumpul bukti NCR seperti peta kampung, tapak warisan dan pengesahan ketua adat selain menyediakan akses kepada peguam melalui kerjasama dengan Persatuan Undang-Undang Sabah untuk memohon injunksi mahkamah bagi menghentikan sebarang operasi perobohan atau pembangunan sehingga kes diselesaikan.
Beliau berkata memorandum bantahan rasmi juga perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Pejabat Daerah dan Suhakam.
Dalam pada itu Sabrezani turut menyelar sebarang cubaan mengancam atau melakukan intimidasi terhadap mahasiswa serta aktivis yang hadir di lokasi untuk memberi sokongan moral kepada penduduk kampung.
Katanya kehadiran mahasiswa bukan ancaman kepada keamanan, sebaliknya mencerminkan kesedaran sivik generasi muda terhadap isu keadilan sosial.
“Semua pihak digesa mengutamakan dialog terbuka dan damai, bukannya tekanan fizikal atau psikologi.
“Anak Negeri akan terus berdiri teguh bersama masyarakat Kampung Asaon demi menuntut keadilan. Tanah adat adalah warisan rakyat dan perjuangan menuntut keadilan bukan satu jenayah,” katanya.