Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan (gambar) menegaskan Sabah tidak boleh sesekali berkompromi dalam soal autonomi dan hak kedaulatannya, khususnya berkaitan hal ehwal imigresen.
Beliau berkata prinsip “Tiada Kompromi” itu juga perlu diguna pakai terhadap semua hak kedaulatan lain yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963 dan termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan.
Advertisement
X500px(H).jpg)
“Kerajaan Sabah dan pemimpinnya perlu mencontohi pendirian tegas yang sentiasa ditunjukkan pemimpin Sarawak dalam mempertahankan hak negeri itu, selain menzahirkan ketegasan sama seperti yang ditunjukkan Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah dalam mempertahankan kepentingan sah dan berdaulat Sabah,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Jeffrey memuji Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) dan pegawai imigresen Sabah dalam menyuarakan kebimbangan bahawa autonomi imigresen Sabah boleh terhakis menerusi pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860), atau AKPS.
Katanya, kebimbangan yang dibangkitkan KPPIS mendorong kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Akta 860 dan AKPS di negeri itu.
“Kuasa autonomi Sabah dalam hal imigresen bukan sahaja termaktub dalam undang-undang negara, malah telah diperakui dan dikuatkuasakan melalui keputusan mahkamah.”
Beliau berkata Akta 860 bukan sahaja menjejaskan hal ehwal imigresen, tetapi turut memberi kesan kepada kuasa agensi Sabah seperti Jabatan Pertanian Sabah (DOAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), khususnya dalam aspek pelesenan, pengimportan dan kuarantin input pertanian, hasil tanaman serta ternakan.
Sebelum AKPS, kedua-dua jabatan itu mempunyai kawalan penuh dan memainkan peranan penting dalam melindungi Sabah daripada ancaman luar serta penyakit.
Bagaimanapun, di bawah AKPS, agensi berkenaan akan diletakkan di bawah bidang kuasa agensi persekutuan, sekali gus mewujudkan risiko kuasa Sabah diketepikan oleh keputusan persekutuan.
Jeffrey turut menyatakan bahawa selain AKPS, beberapa undang-undang persekutuan lain juga telah menceroboh hak kedaulatan dan autonomi Sabah, dan sebahagiannya perlu digantung serta-merta sementara menunggu penolakan sepenuhnya.
Antara undang-undang yang disebut ialah Akta Laut Wilayah, Akta Pelantar Benua, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan undang-undang perlombongan petroleum.
Beliau turut membangkitkan peruntukan dalam Ordinan Buruh Sabah yang telah dipersekutukan walaupun perkara berkaitan buruh di Sabah sepatutnya kekal di bawah kuasa perundangan tempatan seperti diperuntukkan dalam Laporan IGC yang menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
Satu lagi isu penting yang dibangkitkan Jeffrey ialah pendaftaran rakyat Sabah. Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif bagi mengiktiraf kesahan dan kedaulatan kewarganegaraan Sabah.
Beliau berkata penentuan status kewarganegaraan rakyat Sabah sewajarnya diputuskan terlebih dahulu oleh kerajaan Sabah sebelum disalurkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia.
Menurutnya, seperti autonomi imigresen Sabah, bukan peranan JPN untuk menentukan kewarganegaraan rakyat Sabah.