LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar pulang 112 warga Filipina melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina, pada Selasa.
Program penghantaran pulang itu melibatkan 63 lelaki, 34 wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun. Kanak-kanak terbabit diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua individu yang terlibat dalam program itu datang dari Depot Imigresen Kota Kinabalu.
Beliau berkata, setakat ini seramai 3,085 warga asing, termasuk 1,947 warga Filipina, telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program berkenaan.
Katanya, semua peserta program telah melalui proses perundangan di Malaysia dan memiliki dokumen perjalanan yang telah disahkan.
Sementara itu, majikan digalakkan menyertai program pengumpulan data digital bagi warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Sabah (SWIMS) untuk mengurus serta merekod kehadiran pekerja asing di Sabah.
Advertisement

Inisiatif itu dijangka membantu membendung isu dokumentasi serta kebanjiran pendatang tanpa izin di negeri ini.
Jabatan turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang didapati melindungi pekerja asing tanpa dokumen mengikut Akta Imigresen 1959/63.