SANDAKAN: Seorang wanita berusia 84 tahun ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Jalan Fook Hin, Batu 12, kira-kira 8.38 malam Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata mangsa, dikenali sebagai Nicole, ditemui anggota bomba di ruang tamu pada pukul 10.44 malam.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9 malam dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Seorang mangsa wanita warga emas dilaporkan terperangkap di dalam rumah dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera air bomba.
Advertisement

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.35 malam sebelum mangsa ditemukan rentung di bahagian ruang tamu rumah pada jam 10.44 malam.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.