KUNAK: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPV) Cawangan Kunak merampas 81 ekor ayam sabung dari luar negara di Kg Sungai Atas, di sini, Khamis
Seorang lelaki warga Indonesia berumur 51 tahun turut ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OP Manok) itu.
Menurut kenyataan rasmi Batalion PGA Kunak, serbuan dilakukan pada jam 9.15 pagi di sebuah rumah tidak bernombor selepas risikan mendapati premis berkenaan menyimpan ayam sabung tanpa kebenaran atau lesen sah.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menemui pelbagai ubat-ubatan, kandang, sangkar besi dan peralatan lain dipercayai digunakan dalam aktiviti sabung ayam.
Suspek mengaku mengendalikan dan mengurus premis tersebut serta mengakui terlibat dalam aktiviti berkenaan sejak 1992.
“Hasil pemeriksaan awal mengesahkan premis berkenaan digunakan untuk memelihara, menjaga dan menjual ayam sabung,” menurut kenyataan itu. Rampasan ubat-ubatan pelbagai jenis dipercayai diimport dari Thailand dan Filipina bagi tujuan meningkatkan prestasi fizikal ayam tanpa kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Menurut PGA Kunak, modus operandi kegiatan ini melibatkan penyeludupan ayam sabung dari luar negara secara tidak sah melalui laluan darat sebelum dihantar ke kawasan sekitar Semporna dan Lahad Datu.
“Ayam-ayam ini kemudian dijual pada harga antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor kepada pihak yang terlibat dalam perjudian sabung ayam di pantai barat dan timur Sabah,” menurut kenyataan itu.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM290,858. Suspek dan barang kes telah diserahkan kepada JPV Cawangan Kunak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
Batalion 22 PGA Kunak menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh usaha mengesan rangkaian penyeludupan serta kegiatan jenayah lain dalam kawasan tanggungjawab masing-masing, selain mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.