KUNAK: Kerja-kerja kutipan dan pemunggahan sampah di sini dioptimumkan merangkumi peningkatan kekerapan kutipan sisa domestik terutamanya di kawasan perumahan, komersial dan bangunan kerajaan bagi memastikan kebersihan persekitaran terpelihara.
Ini termasuk di kawasan perumahan rakyat (PPR) Sri Pangkalan, taman perumahan Sri Idaman, taman Kunak Kaya, bangunan komersial/perniagaan dan sekitar bangunan kerajaan termasuk sekolah.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak (MDKNK) Mohd Nazri Pintal berkata pemantauan juga dilakukan oleh pihak konsesi penyelenggaraan sisa domestik untuk mengelak lambakan sampah terbiar dalam tempoh lama semasa musim perayaan.
Kutipan sampah, terutamanya sampah pukal, diperhebat oleh pihak konsesi semasa musim perayaan, dengan perkhidmatan tambahan disediakan.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan persekitaran bersih sambil mengekalkan jadual kutipan domestik biasa”, ujarnya.
Penyediaan tong roro misalnya adalah langkah penting terutama bagi menampung jumlah sisa yang bertambah sejak kebelakangan ini terutama sejak Ramadan dan menjelanga Hari Raya nanti.
Menurutnya, bertan-tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari dan dihantar ke pusat pelupusan.
Nazri berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan wakil konsesi bagi perbincangan khusus mengenai isu sampah sebelum ini termasuk masalah kelewatan dalam proses kutipan berjadual.
Beliau juga menghargai peranan Daily Express baru-baru ini dalam membantu menyalurkan maklumat yang betul kepada masyarakat mengenai isu sampah yang tular di media sosial.
Pihak majlis dan konsesi memberi jaminan isu kelewatan kutipan sisa pepejal dapat diatasi melalui kerjasama semua pihak termasuk peranan masyarakat dalam usaha memastikan persekitaran yang lestari.
Laporan mengenai kelewatan proses kutipan baru-baru ini adalah berpunca daripada beberapa faktor termasuk penyelenggaraan lori pemampat (kompaktor) dan lori hidraulik seperti yang telah diperjelaskan. Selain itu, penggantian tong sampah rosak juga telah dilakukan.
Dalam perkembangan lain, pihak majlis menggesa masyarakat agar memainkan peranan bersama dengan membuang sisa ke dalam tong sampah yang disediakan termasuk tong roro dan tong sampah beroda untuk kegunaan komersial yang tersedia.