LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 9,000 liter diesel dan menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam penyelewengan bahan api bersubsidi susulan serbuan di sebuah stesen minyak, di sini, pada Selasa.
PPM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan bahawa sepasukan anggota menjalankan pemantauan selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan berkenaan.
Semasa pemantauan dijalankan, anggota PPM mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel ke dalam tangki minyak sebuah lori tangki minyak jenis Nissan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tangki asal lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan pam serta satu gulungan hos yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dari tangki asal ke tangki lori, yang disyaki bagi tujuan penyelewengan diesel.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati sebanyak 9,000 liter diesel telah diisi ke dalam tangki asal lori itu, yang melebihi had dibenarkan oleh pihak berkuasa,” menurut PPM.
Susulan serbuan itu, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. Semua barang kes termasuk lori, diesel dan peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai RM519,500 akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan.
Orang ramai juga dialu-alukan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan berkenaan.