KUNAK: Program bas percuma balik kampung kini dibuka untuk mahasiswa yang menuntut di mana-mana universiti di Kota Kinabalu termasuk Labuan untuk balik bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Adun Kunak Datuk Seri Anil Sandhu
(gambar) berkata program itu hanya untuk mahasiswa yang berasal dari Kunak dan keluarga mereka bermastautin di daerah itu.
“Julung kalinya dua buah bas ekspres daripada Kota Kinabalu ke Kunak akan disediakan kepada pelajar-pelajar universiti awam atau swasta yang belajar di negeri ini dan Labuan untuk balik beraya meraikan Aidil fitri bersama keluarga mereka di kampung halaman,” katanya menambah program itu dilaksanakan bagi membantu meringankan kos perjalanan pelajar pulang bercuti Raya.
Anil berkata program ‘Kunak Home Coming : Raya Edition 2.0’ itu merupakan inisiatifnya sendiri yang diperkenalkan tahun lalu.
“Program ini saya teruskan tahun ini kerana ianya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar universiti.
“Alhamdulillah, ibu bapa pelajar turut gembira anak-anak mereka dapat balik raya,” katanya.
Menurutnya semua kos pengangkutan akan ditanggung sepenuhnya meliputi perjalanan dua hala (Kunak-KK) melalui kolaborasi dengan syarikat perkhidmatan pengangkutan awam tertentu.
Tarikh pergerakan/perjalanan itu ialah pada 18 Mac (Kota Kinabalu ke Kunak dan 28 Mac (Kunak ke Kota Kinabalu).
Mahasiswa yang mahu mengikuti program itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui pautan borang google seperti berikut:
https://docs.google.com/forms/ d/e/ 1FAIpQLScgyIPuSacFk1wDlX4txKKF RLBvNGu54StW9FAkITOYD-7ehg/ viewform?usp=header