NABAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang berjaya mempertahankan kerusi disandangnya musim lepas mengucapkan terima kasih kepada jentera dan rakyat mengundinya.
Abdul Ghani berkata kemenanganya pada PRN17 Sabah baru-baru ini membolehkan beliau meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang khususnya bagi daerah Nabawan.
“Kita telah banyak merancang program pembangunan untuk rakyat termasuk penyelasaian isu pemilikan tanah, pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi.
“Bagaimanapun ia tidak dapat dilaksanakan dengan lancar kerana tergendala dengan pandemik Covid-19 pada tahun 2020,” katanya.
Jelas Ghani jika dihitung pada penggal lepas kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya lebih kurang tiga tahun sahaja merancang pembangunan negeri kerana selain gangguan Covid-19 langkah Kinabalu turut menganggu pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 2023.
“Kita berharap pada penggal kedua pemerintahan GRS yang didokong oleh parti-parti yang menyokong kerajaan dapat meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat berlandaskan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0” katanya.
Ghani yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Nabawan bagi penggal kedua dengan 5,283 undi dengan majoriti 1682 undi menewas lapan calon lain yang terdiri daripada Jekerison Kilan (KDM), Jubulin Kilan (Upko), Laiji Ompongoh (BN), Alfian Ahmad Koroh (Warisan), Farney Akon (PKS), Rejoh Ondoh (Pis) Akuang Suan (Star dan Sayau Tangkap (PN).
Menurut Ghani kemenangan beliau bagi penggal kedua ini bukanlah kemenangan peribadi tetapi ia adalah kemenangan untuk rakyat yang memberi mandat kepadanya.
“Kemenangan ini bukan satu kebanggaan tetapi ia adalah amanah besar yang perlu dipikul dalam tempoh lima tahun ke hadapan,” ujarnya.