KENINGAU: Dua pemain bola sepak muda dari Bingkor menerima sokongan awal menjelang Piala Belia Malaysia 2026 sekali gus menyuntik semangat untuk mengharumkan nama Sabah di peringkat negeri dan kebangsaan.
Inisiatif oleh tokoh belia tempatan merangkap Presiden MP Project Moddy Patrick itu dilihat mampu memperkukuh pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi apabila beliau menyampaikan sumbangan berupa dua pasang but bola sepak kepada dua pemain muda berbakat dari kawasan Bingkor.
Sumbangan disampaikan oleh wakil Moddy, Kennedy Kelly Jupirit kepada Ejmcchristien Chrizeal
(gambar) dari Kampung Bunsit dan Shane Stanley dari Kampung Kuangoh, yang akan mewakili Sabah dalam kejohanan Piala Belia Malaysia 2026.
Kedua-dua pemain ini dikenal pasti sebagai bakat muda yang sedang meningkat naik dan berpotensi untuk menyerlah di pentas bola sepak negeri serta kebangsaan.
Menurut Kennedy, sumbangan daripada Moddy yang juga Presiden Inter United FC itu, walaupun kecil, diharap menjadi pemangkin kepada pemain untuk terus berusaha keras, berdisiplin dan memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan.