RANAU: Seramai 19,096 pelajar dari Sabah dan 14,822 pelajar dari Sarawak mendapat manfaat daripada kemudahan pinjaman pendidikan yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kata Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin
(gambar).
Menurut beliau dalam satu kenyataan di seluruh negara seramai 628,900 pelajar telah menerima kemudahan pinjaman pendidikan Mara sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat termasuk program persediaan, diploma, ijazah sarjana muda, pascasiswazah (Sarjana dan PhD) serta kursus profesional sama ada di dalam atau luar negara.
Kenyataan itu susulan soalan yang dikemukakan beliau di Dewan Rakyat kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai jumlah biasiswa yang telah diberikan oleh Mara sejak penubuhannya serta jumlah pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menerima tajaan tersebut.
Jawapan kementerian itu menunjukkan peranan besar agensi berkenaan dalam memperkasa modal insan Bumiputera melalui pendidikan sejak Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966.
Menurut Jonathan program tajaan pendidikan Mara termasuk pinjaman boleh ubah telah memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Beliau berkata kemudahan pinjaman tersebut memainkan peranan penting dalam membantu pelajar di seluruh negara mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara melalui penghasilan tenaga mahir dan berkelayakan dalam pelbagai bidang.
“Mara sebagai agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi menyokong kemajuan pendidikan Bumiputera terus menjadi antara institusi penting dalam usaha membangunkan modal insan serta memperkasakan rakyat melalui peluang pendidikan yang lebih luas,” ujar beliau.