Kota Kinabalu: Bekas menteri Persekutuan Khairy Jamaluddin
(gambar) berkata Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah telah menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan negeri ini ditadbir oleh parti-parti berteraskan tempatan.
“Apa yang dilakukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak, inilah detik GPS untuk Sabah di mana kedua-dua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan telah memutuskan ‘tali pusat’ politik,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap.
“Mereka menghantar mesej bahawa ‘Kami akan berbincang dengan kamu tetapi sebagai rakan setara. Dan kamu juga akan berbincang dengan kami sebagai rakan setara’.
“Sabah sedang menyatakan ‘Kita berkawan dan boleh berbincang tetapi kita tidak akan mengikut rentak mana-mana parti atau pemimpin dari persekutuan’,” katanya sambil menegaskan bahawa ahli politik dari Semenanjung perlu menghormati pilihan demokratik ini.
Menurut beliau pengundi Sabah telah menyatakan keutamaan mereka terhadap kepimpinan tempatan sambil mengekalkan hubungan kerjasama dengan parti persekutuan atas dasar kesamarataan.
Beliau berkata keputusan PRN Sabah yang baru berakhir itu mencerminkan perubahan sentimen pengundi.
“GRS memenangi 29 kerusi manakala Warisan memperoleh 25 kerusi. Sekiranya kedua-dua gabungan ini bergabung untuk membentuk kerajaan negeri ia akan memberikan mereka 54 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
“Pakatan Harapan (PH) pula hanya menang satu kerusi iaitu merosot daripada tujuh kerusi pada pilihan raya lalu manakala Barisan Nasional (BN) pula memperoleh enam kerusi, turun daripada 13 sebelum ini,” ujarnya.
Khairy mengakui bahawa walaupun situasi Sabah berbeza dengan Sarawak yang mempunyai gabungan GPS yang bersatu, dalam erti kata GRS dan Warisan masih merupakan seteru politik namun mesej asasnya tetap jelas — rakyat mahu parti tempatan mengawal hala tuju politik negeri seperti pada era 1960-an dan 1970-an.
“Mungkin ini akan membawa kepada pembentukan gabungan yang lebih besar antara GRS dan Warisan pada masa hadapan apabila persaingan peribadi antara individu tidak lagi wujud. Itulah yang dapat dilihat oleh rakyat Sabah sekarang,” katanya.